Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Oleh: Moch Wildan Habibie, S.Hum
Guru Pengampu Pelajaran Mantiq

Dalam usaha mendidik manusia mengenal Allah SWT, dan pelbagai cabang ilmu lainnya memerlukan tunjuk ajar dari seorang yang bergelar guru.

Kewibawaan guru penting dalam usaha melaksanakan tugas membimbing dan mendidik pelajar secara lebih berkesan.

Ada lima Tipologi yang menjadi karakter guru dalam proses pengajaran atau pendidikan, yaitu Muaddib, Murabbi, Mursyid, Mu’allim dan Mudarris.

Pertama, Muaddib dari kata Arab ta’diban diterjemahkan sebagai pembentuk adab yang bermaksud penyucian atau membersihkan seseorang daripada kekotoran. Konsep ta’dib merupakan proses mengasuh, mendidik, membentuk, membimbing, menanam, menyuci, menitis dan menyuburkan akhlak mulia dalam pembinaan dan pembangunan diri insan. Ta’dib juga meliputi proses pembentukan akhlak, disiplin, tingkah laku, sahsiah dan seluruh adab sopan seseorang insan.

Kedua, Murabbi dari kata Arab tarbiyyah membawa maksud pelihara, ajar atau jaga dengan hati-hati. Sifat guru yang murabbi melibatkan proses mendidik, memelihara dan membentuk pelajar sehingga wujud rasa kasih sayang dan saling percaya mempercayai antara mereka dan menjurus kepada maksud mencurahkan kasih sayang, memelihara, mendidik semasa kecil dan mengembangkan.

Ketiga, Mursyid dari kata Arab irsyad membawa maksud jalan petunjuk, pemimpin yang memberi petunjuk dan petunjuk ke jalan yang benar. Konsep irsyad juga bermaksud proses memberi arahan, panduan, bimbingan dan petunjuk serta menjaga, mengikuti, menasihati dan memimpin ke jalan yang benar. Sifat guru mursyid merupakan seorang yang sentiasa bersedia menjadi penasihat yang ikhlas, bertindak sebagai mentor iaitu pengajar, penasihat dan pendorong kepada pelajar di bawah asuhannya untuk berkembang dan mencapai kecemerlangan.

Keempat, Muallim dari kata Arab ta’lim membawa maksud suatu proses pemberitahuan, pengajaran, pemindahan dan penyampaian maklumat dan ilmu pengetahuan daripada seorang guru kepada pelajarnya. Ta’lim merujuk kepada peranan guru dalam pengajaran dan menjalankan aktiviti pendidikan dengan cara memberitahu, mengajar, menyampaikan pelbagai jenis maklumat, disiplin dan ilmu pengetahuan kepada para pelajar sama ada melalui latihan, arahan atau sebarang bentuk pengajaran yang seumpamanya.

Kelima, Mudarris dari kata Arab tadris membawa maksud ciri pengajar berkesan yang melibatkan aspek pengajaran dan pembelajaran bermula daripada persediaan mengajar, sepanjang proses dan akhirnya penilaian kendiri.

Demikianlah lima tipologi guru yang perlu diamalkan secara berterusan dan dengan penuh iltizam dan diletakkan taraf sebagai insan yang mulia kerana berusaha membimbing dan mendidik manusia.

Diambil dari risalah al’ hilyah al Auliya, beliau Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah berkata:

الْعِلْمُ خَيْرٌ مِنَ الْمَالِ، الْعِلْمُ يَحْرُسُكَ، وَأَنْتَ تَحْرُسُ الْمَالَ، الْعِلْمُ يَزْكُو عَلَى الْعَمَلِ، وَالْمَالُ تُنْقِصُهُ النَّفَقَةُ… وَالْعُلَمَاءُ بَاقُونَ مَا بَقِيَ الدَّهْرُ، أَعْيَانُهُمْ مَفْقُودَةٌ، وَأَمْثَالُهُمْ فِي الْقُلُوبِ مَوْجُودَةٌ،

“..Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga dirimu, sedangkan kamu menjaga harta, dan ilmu bertambah jika disiarkan sedangkan harta berkurangan jika dibelanjakan Dan ulama’ itu akan tetap hidup selamanya meskipun jasadnya tidak ada, dan ajaran mereka selalu diingati dalam hati..”

Selagi diterapkan keunggulan dan keluhuran peribadi Nabi SAW dalam setiap diri guru, pastinya akan dapat menjadi contoh dan ikutan kepada pelajar.